Tuesday, July 26, 2011

9 Ciri – Ciri Wanita Idaman Lelaki

Wahai wanita, sesungguhnya kejadianmu terlalu unik,tercipta dari tulang rusuk. Adam yang bengkok menghiasi taman-taman indah lantas menjadi perhatian sang kumbang, kau umpama sekuntum bunga, harum aromamu menarik sang kumbang untuk mendekatimu. Namun, bukan semua bunga mampu menarik kumbang jika terdapat cacat cela. Antara ciri wanita idaman lelaki adalah :
1. Berpegang Kepada Agama
Wanita yang berpegang kepada agama mempunyai keperibadian yang unggul. Batas-batas syariat yang dipegang dan terpelihara dalam hidupnya mengangkat martabat dirinya sebagai seorang yang layak dikagumi oleh lelaki. Dia tidak akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariah Islam. Memang beruntung mana-mana lelaki yang beristeri dengan wanita sebegini.

2. Kecantikan Dalaman
Wanita yang tulen adalah lemah lembut dalam perwatakannya tetapi mempunyai prinsip dalam hidup. Inilah kecantikan dalaman yang dicari oleh ramai lelaki. Kalau cantik, tu dikira sebagai BONUS.
Wanita yang mempunyai kecantikan dalaman tidak akan sesekali menjual maruah dirinya hanya untuk mencari nama dan wang. Mereka tidak akan sesekali tunduk pada nafsu atau berbuat sesuatu semata-mata kerana mahukan harta dan kekayaan.

3. Manja
Lelaki suka wanita yang keanak-anakan atau yang ada sifat manja, supaya lelaki boleh memainkan peranan sebagai pelindung. Namun begitu, sifat manja dan keanak-anakan yang melampau tidak sesuai kerana ia akan menampakkan wanita itu seperti kurang matang.

4. Pandai Menjaga Kecantikan
Lelaki menginginkan wanita yang pandai menjaga kecantikan dirinya. Wanita dan kecantikan memang susah nak dipisahkan. Mereka akan kelihatan bertambah cantik jika bijak menguruskan penampilan diri. Lelaki secara fitrahnya memang mahukan wanita yang pandai menjaga kecantikan, kerana ia akan membuat mereka bangga.

5. Berakhlak Mulia
Wanita yang berakhlak mulia dikenali juga sebagai wanita solehah. Wanita adalah hiasan dunia, tetapi seindah hiasan adalah wanita solehah. Merekalah ibu, isteri, kekasih dan merupakan tunjang kejayaan suami.

6. Tidak Mempamer Keseksian
Lelaki suka menjamu mata dengan melihat aurat wanita, namun tidak suka menjadikanya isteri kerana keindahan diri wanita tu seolah-olah menjadi barang pameran untuk mata semua lelaki.

7. Tidak Cerewet
Lelaki suka pada wanita yang tidak cerewet. Mengapa pula? Sebab wanita yang cerewet boleh merimaskan dan mudah menyebabkan lelaki merasa jemu dengannya. Biasanya, wanita yang cerewet suka mengkritik apa saja yang tidak disenanginya walaupun perkara itu hanyalah perkara kecil.

8. Memahami Lelaki
Wanita yang memahami hati lelaki biasanya mempunyai intuisi yang cukup kuat. Lelaki mengimpikan wanita yang mampu memahami situasinya dalam keadaan suka dan duka. Pendek kata, tanpa perlu bersuara, dia itu sudah dapat membaca riak wajah suaminya. Lantas, bertindak menghiburkan atau memberi kekuatan.

9. Sejuk Mata Memandang
Wanita yang manis wajahnya dan sejuk dipandang mata akan mendamaikan perasaan seorang lelaki. Ciri-ciri Wanita Sejuk Mata Memandang seperti di bawa ini:
.:: – Bersopan satun
.:: – Senantiasa memaniskan wajah
.:: – Senantiasa memberikan senyuman ikhlas
.:: – Menutup aurat
.:: – Ramah dan mesra
.:: – Tidak terlalu cemburu
.:: – Menghormati orang lain

copy paste from akuislam.com/blog/renungan/9-ciri-ciri-wanita-idaman-lelaki

Thursday, July 21, 2011

Rukun perjalanan menuju Allah, melalui ilmu dan zikir

Rukun perjalanan menuju Allah, melalui ilmu dan zikir
Prof Madya Dr Musa Fathullah Harun
Almarhum Dr Sa’id Hawa menjelaskan bahawa perjalanan menuju Allah mempunyai dua rukun, iaitu ilmu dan zikir. Tanpa keduanya, tidak ada perjalanan menuju Allah SWT.
Ilmu adalah yang menerangi jalan dan zikir adalah bekal perjalanan dan keperluan pendakian. Kita berhajat kepada ilmu untuk mengenali segala perintah, petunjuk, bimbingan dan peringatan Allah SWT dan mengenali hikmatnya agar kita dapat melaksanakan segala perintah tersebut serta mencapai hikmatnya, manakala kita berhajat kepada zikir agar Allah SWT bersama kita dalam perjalanan kita menuju kepadaNya.
Rukun pertama: Ilmu
Bukanlah menjadi satu keraguan bahawa apa yang dimaksudkan dengan ilmu ialah ilmu tentang al-Qur’an dan al Sunnah serta ilmu tentang segala yang diperlukan oleh Salik dalam perjalanannya menuju Allah SWT. Sekurang-kurangnya setiap salik mestilah melengkapkan dirinya dengan kesemua ilmu fardu ‘ain, iaitu ilmu yang setiap muslim dituntut mempelajarinya.
Setiap muslim wajib mengetahui segala perbuatan yang wajib dilakukannya, agar ia tidak meninggalkannya; dan juga perbuatan yang haram dilakukannya, agar ia terhindar daripada melakukannya. Setiap perbuatan yang wajib dilakukan, maka mempelajari ilmunya juga menjadi wajib, Ini adalah kerana tanpa ilmu tentang sesuatu, maka seseorang tidak mungkin dapat melakukan sesuatu itu dengan betul, sesuai dengan kehendak syariat.
Imam Ghazali mengingatkan kita di dalam kitabnya Ihya Ulum Al-Din, bahawa di antara ilmu yang wajib dipelajari ialah ilmu mengenai jalan menuju ke akhirat. Apa yang dimaksud ilmu menuju jalan ke akhirat ialah ilmu cara membersihkan hati atau jiwa daripada sifat-sifat yang keji, yang tercela, yang dianggap sebagai kotoran yang menjadi penghalang daripada mengenali Allah SWT dan daripada mengenali sifat-sifat dan af’al atau perbuatan-perbuatanNya. Tidak ada jalan untuk ke sana melainkan dengan latihan, ilmu dan pengajaran.
Ilmu tersebut terbahagi kepada dua bahagian:
Pertama: Ilmu zahir, iaitu ilmu yang berkaitan dengan amalan anggota badan, dan ia terbahagi kepada adat dan ibadat.
Kedua: ilmu batin, iaitu ilmu yang berkaitan dengan amalan hati atau jiwa, atau ilmu tentang sifat-sifat yang ada di dalam hati atau jiwa, yang juga terbahagi kepada yang terpuji dan tercela.
Sifat-sifat yang terpuji di dalam hati adalah seperti: sabar, syukur, takut, harap, redha, zuhud, taqwa, qana’ah (menerima dan berpuas hati dengan yang ada atau dengan apa yang Allah berikan), murah hati, ihsan, baik sangka, baik budi,baik pergaulan, jujur, ikhlas dan sebagainya, yang merupakan sumber atau punca daripada segala perbuatan taat dan ibadat kepada Allah SWT.
Adapun yang tercela daripadanya adalah seperti; dengki, dendam, busuk hati, penipu, gila pangkat, gila harta, gila kuasa, gila pengaruh, suka dipuji, sombong, riya’, keras kepala, pemarah, benci, tamak kedekut, kufur ni’mat, mengagungkan orang kaya, bangga, ujub, nifaq (hipocracy),cintakan dunia, cinta harta, gopoh,lalai dan sebagainya, yang merupakan sumber atau punca daripada segala perbuatan ma’siat dan lain-lain perbuatan buruk atau keji, yang dilarang.
Ilmu tentang batasan segala sifat-sifat ini, sama ada yang terpuji ataupun yang tercela, hakikat, sebab-sebab, hasil atau natijahnya, cara memupuk, menanam, atau cara mengubati, membuang atau mengikis daripada sifat-sifat tercela, kesemuanya itu merupakan ilmu jalan akhirat; dan Imam Ghazali mengatakan bahawa ia merupakan ilmu fardu ain, mengikut fatwa ulama akhirat.
Rukun kedua: Zikir
Adapun yang dimaksudkan dengan zikir ialah zikir yang diwariskan atau dianjurkan, yang termasuk di dalam perintah Allah SWT dan RasulNya SAW.
Imam Nawawi di dalam kitabnya, Al-Adzkaar, telah menjelaskan pengertian zikir sebagai berikut:
“Ketahuilah bahawa fadilat zikir tidak terhad pada tasbih, tahlil, tahmid, takbir dan yang seumpamanya, tetapi setiap orang yang beramal kerana Allah Taala dengan ketaatan, maka ia termasuk orang yang berzikir kerana Allah Taala. Begitulah yang dikatakan oleh Sa’id Bin Jubair r.a. dan lain-lain ulama”.
‘Ata’ berkata: “Majlis-majlis zikir adalah majlis-majlis yang membincangkan masalah halal, haram, bagaimana anda membeli, menjual, solat, berpuasa, berkahwin, mentalak, haji dan yang seumpamanya”.
Beliau juga telah membawakan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila seorang lelaki membangunkan isterinya pada waktu malam, kemudian keduanya solat dua rakaat, maka keduanya ditulis dalam golongan orang-orang yang banyak berzikir kepada Allah”.
Maka kedua rukun berjalan menuju Allah menurut Sa’id Hawa adalah ilmu dan zikir; dan tidak akan ada perjalanan melainkan dengan keduanya.
Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa para salik yang menempuh jalan menuju Allah itu terbahagi kepada dua golongan. Golongan yang pertama lebih banyak melibatkan diri mereka kepada Allah SWT disamping tidak melalaikan tanggungjawab mereka dalam menuntut ilmu agama sebagaimana yang dituntut oleh syara’.
Manakala golongan yang kedua pula mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT dengan bertungkus-lumus mendalami ilmu agama disamping tidak mengabaikan keperluan untuk berzikir. Akhirnya, mereka semua (insya Allah) akan sampai ke satu arah tuju yang sama iaitu mencapai keredhaan Allah dan mendekatkan diri kepadaNya.
Beliau menjelaskan bahawa pembahagian tersebut adalah disebabkan kerana adanya perbezaan pada kecenderungan atau minat dan kemampuan atau kesanggupan manusia itu sendiri. Segolongan manusia, kecenderungan atau minatnya kepada ilmu lebih besar dan juga kemampuannya untuk mencapai ilmu tersebut ada, dan segolongan lainnya kemampuannya untuk mencapai ilmu terhad dan kesanggupannya untuk beribadat, beramal dan berzikir adalah besar.
Jalan yang sesuai bagi golongan yang pertama adalah ilmu, tetapi mesti juga disertai dengan zikir; dan jalan yang sesuai bagi golongan yang kedua adalah memperbanyak zikir, tetapi mesti juga disertai dengan ilmu.
Daripada huraian tersebut, kita dapat mengambil kesimpulan bahawa setiap manusia yang berjalan menuju Allah atau mencari keredhaan dan keampunan Allah, yang dengannya dicapai kebahagiaan akhirat dan terhindar daripada seksaan neraka, mestilah berusaha, selain mengisi masanya dengan melaksanakan tugas peribadatan yang telah ditetapkan, seperti solat lima waktu, puasa ramadan dan lain-lainnya, juga dengan kegiatan menuntut ilmu dan berzikir.
Ia mesti menjadikan kegiatan menuntut ilmu dan berzikir ini sebagai agenda hariannya yang berterusan sepanjang hayat, kerana kedua-duanya merupakan ibadat yang sangat tinggi nilainya. Setiap salik mestilah berusaha menghindarkan diri daripada membazirkan masanya dengan sebarang perbuatan yang tidak ada manfaatnya seperti melepak di kedai-kedai kopi, berbual kosong dan kerja-kerja yang seumpamanya.
Di dalam sesuatu hadis, ada dinyatakan bahwa tanggung jawab pertama yang akan disoal ke atas setiap insan ialah tentang umurnya: di mana ia telah menghabiskannya? Di dalam surah al-’Asr Allah SWT telah menyatakan dengan bersumpah: “Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan (mengisi masanya dengan)beramal soleh, serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”.
Setiap salik mesti menentukan masa yang tetap setiap hari untuk menuntut ilmu dan berzikir: menetapkan masa tertentu untuk membaca al-Qur’an dan memahami maknanya. Mereka boleh merancang untuk mengkhatamkan Al-Qur’an setiap seminggu sekali, dua minggu sekali, sebulan sekali atau lain-lainnya, mengikut kemampuan dan kesanggupan masing-masing. Perkara yang penting di sini ialah mereka menetapkan agenda yang tetap dan berterusan sepanjang hayat.
Membaca Al-Qur’an adalah ibadat dan zikir, dan memahami kandungannya adalah ilmu yang paling tinggi nilainya.
Selain mempelajari Al-Qur’an, mereka juga mesti berusaha mempelajari ilmu-ilmu syari’at lainnya dengan membaca kitab-kitab agama, menghadiri kelas-kelas agama, ceramah-ceramah agama, atau mempelajari agama daripada guru-guru agama yang memberi bimbingan secara langsung kepada para pelajar atau murid-muridnya.
Menuntut ilmu dalam Islam merupakan ibadat yang dituntut dan tinggi nilainya. Ibnu ‘Abd al-Bar telah meriwayatkan daripada Abu Dzarrin al-Ghiffari r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Bahawa anda keluar di waktu pagi untuk mempelajari satu bab daripada ilmu adalah lebih baik daripada anda solat seratus rakaat”.
Kita mesti menetapkan agenda harian yang tetap, dengan memperuntukkan masa tertentu yang mencukupi untuk menuntut ilmu serta membaca kitab-kitab ilmiyah. Di dalam Islam, agama itu sendiri adalah ilmu dan ilmu adalah agama. Agama adalah ilmu kerana ia berdiri di atas asas pemikiran, penyelidikan, menolak taklid buta dan bersandar kepada pembuktian yang meyaqinkan, bukan kepada sangkaan dan mengikuti hawa nafsu.
Begitu juga ilmu dalam Islam, ianya adalah agama, kerana menuntutnya adalah diwajibkan ke atas setiap muslim dan muslimah sama ada sebagai fardu’ain atau fardu kifayah, dan bergiat dalam bidang ilmu yang bermanfaat, sama ada manfaat duniawi atau ukhrawi, dianggap sebagai ibadat dan jihad di jalan Allah.
Adapun zikir, maka ia merupakan amalan yang berterusan kerana, selain ia merupakan amalan tersendiri, ia juga boleh masuk ke dalam atau ke celah-celah amalan-amalan lain dan boleh mengisi setiap masa yang terluang dari sejak kita bangun dari tidur sehinggalah kita naik semula ke katil untuk tidur.
Perbekalan Rabbani Dalam Perjalanan: Taqwa, Muhsabah Diri dan Taubat.
Di dalam perjalanan yang panjang merentasi kehidupan di alam dunia, mencari keredhaan Allah SWT, supaya dapat memasuki alam barzakh dan alam akhirat dengan selamat, Rabbani berhajat kepada perbekalan, dan tidak ada perbekalan yang lebih baik daripada ketaqwaan. Allah SWT telah berfirman di dalam surah Al-Baqarah:197:
“Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya, sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa (ketaqwaan); dan bertaqwalah kepadaku wahai orang-orang yang berakal”.
Di dalam bab ini, saya ingin membicarakan tentang perbekalan yang mesti ada pada setiap rabbani dalam perjalanannya menuju Allah al-Rabb al-Jalil, sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT, iaitu taqwa atau ketaqwaan dan yang merupakan cawangan daripadanya, iaitu muhasabah diri dan taubat.
wallahua’lam

copy paste from ustazazhar.net/v01/

Tuesday, July 19, 2011

Bila kita bergaul dengan orang alim...

dalam perjalanan pulang ke kampung halaman dengan menumpang kereta abang saya, kitorang banyak berborak dan berbual bermacam-macam topik...yela...dekat 6 jam perjalanan...kitorang bincang mengenai isu semasa dan permasalahan2 yg timbul dalam masyarakat....tak lupa juga bincang mengenai hal2 keluarga kitorang...sambil borak2, satu demi satu topik kitorang bincangkan sampaila...

"taifur dah malas dah la nak nasihat lagi kat dia tu...berbuih-buih dah mulut ni cakap tapi dia macam tu jugak...tak reti-reti nak amek pengajaran dan berubah...kita cakap benda yg betul dan elok pun dia taknak ikut...buat sakit hati je cakap ngan orang camtu...baik duduk diam senang cite..." ngomel saya..

"haa...taifur kena berhati-hati dengan percakapan taifur tu...kalau silap gaya, boleh terpesong akidah..." tegur abang saya...

"haaa...!!! kenapa pulak camtu...?" saya mula naik cuak...

"yela...dari gaya percakapan taifur tu, seolah-olah taifur anggap kalau perkara yg taifur cakap tu betul dan elok, tidak dapat tidak orang tu mesti berubah dengan asbab isi kandungan percakapan taifur yg betul, benar dan elok tu...sedangkan hidayah tu ada pada ALLAH, bukan ada pada taifur...jadi, taifur tiada hak untuk rasa marah atau sakit hati jika seseorang taknak berubah walaupun sudah puas taifur menasihatinya kerana seseorang tu hanya akan berubah dengan IZIN ALLAH, bukan kerana nasihat taifur ataupun atas kehendak taifur...itu kena jelas..." terang abang saya...

"ye tak ye jugak kan..." seolah-olah saya baru tersedar dari mimpi...walaupun perkara tu saya dah tahu dah, tapi kelihatannya seperti baru sekarang saya nak amalkan apa yg saya tahu tu...astaghfirullahala'zim...

jadi selepas ini, apa yang saya kena fikirkan bukanlah samada orang tu berubah ataupun tidak, tapi samada saya sudah nasihat ataupun tidak...itulah tugas dan juga peranan kita sebagai hamba ALLAH dan juga pembela agamaNYA...

***********************************************************************************

saya melawat kawan karib saya yg belajar di UIA gombak...apabila masuk bilik dia, saya lepak atas katil dia untuk menghilangkan lelah saya...sambil2 tu, kitorang pun duk borak2...tengah duk borak2 tu, saya terpandangkan kasut baru dia yg diletakkan di bawah mejanya...saya pun ambil kasut tu sebab nak tatap dengan lebih dekat lagi....

"paih, cantikla kasut ko...ni mesti mahal ni kan...? berapa harga kau beli ni..?" tanya saya dengan penuh perasaan ingin tahu...

"agak-agak ko, berapa harga dia...?" tanya balik kawan saya...

"isshhh...kasut cantik macam ni, paling2 koman pun mau seratus lebih ni....betul tak...?" teka saya...

"isshhh ko ni taifur...ORANG TAK BELI BARANG MAHAL-MAHAL LETAK KAT KAKI....aku beli rm60 je..." jawab kawan saya dengan lembut dan sempoinya...

saya yang dengar tu hanya diam tak terkata...speechless..."betul jugak cakap dia tu...rasa macam bodoh je kalau beli benda mahal2, tp last2 letak kat kaki aku je..." gerutu saya...

jadi lepas ni, boleh jadi motivation untuk saya supaya bersikap zuhud at least for the things yg nk dipakaikan kat kaki...beli kasut yg biasa2 sudah la eh...:)

***********************************************************************************


sambil berjalan2 ngn roomate saya nak pegi kedai makan, saya borak kosong ngan dia...sampaila tiba2 masuk part lain...

"ko kenal tak fulanah binti fulan nih....? cantik jugak tuan dia kan...?" soal saya dengan berjenaka dengan niat nak stimulate mood kawan saya supaya borak pasal pompuan...

"ko nih takde keje lain ke...asik2 duk cakap pasal pompuan je..." tegur kawan saya...

"alaa faez, rilek r...aku bukan serius pun cakap tu...saje je nk gurau2 ngan ko...hehe.." balas saya...

"setiap percakapan itu lahir dari hati...dan mulut hanya akan bercakap apa yang terlintas di hati..." sindir kawan saya...

gedebussshhh..!!! amek ko taifur....saya diam membisu sambil merenung dalam2 kata2 dia...tajam betul teguran dia...tapi nak tak nak, saya kena terima kebenaran apa yang dia katakan tu...memang betul...usahlah berdalih dengan mengatakan kita hanya bergurau, kerana disebabkan hati kita dipenuhi dengan lintasan2 nafsu lah yang menyebabkan kita bercakap perkara2 yang tak sepatutnya kita cakap...

jadi selepas ini, saya berusaha nak reset balik apa yang sepatutnya yang terlintas di hati saya...saya kena berusaha untuk memenuhinya dengan benda2 yang bermanfaat dan berfaedah moga2 apa yg saya cakapkan nanti juga turut memberi faedah dan manfaat kepada jiwa2 yang mendengar....

wallahua'lam...

Sunday, July 17, 2011

pemergian....

sedihnya bila dapat berita mengenai kematian ahli parlimen titiwangsa dr lo'lo'...ALLAH telah mengambilnya dalam keadaan dia berjuang untuk menegakkan agamaNYA...ya ALLAH, moga2 KAU gantikanlah dia dengan pejuang islam yang lebih berani dan dihormati semua lapisan masyarakat dan KAU cucurilah rahmat atas rohnya dan tempatkan dia bersama roh-roh para nabi, orang-orang siddiqin, syuhada, dan orang-orang soleh...ameen ya rabbal a'alamin....

Monday, July 11, 2011

Baru tahu...

"taifur, lari...!!! jgn masuk dalam asap tuu....!!!" jerit kawan saya yg membuatkan saya tersentak daripada menikmati pemandangan melihat tembakan demi tembakan gas pemedih mata yg dilepaskan oleh polis...saya pun tanpa cakap banyak terus lari ikut kawan saya...asap masa tu dah merebak ke semua ruang...nak tak nak kitorang kena redah jugak asap tu...ni gara2 saya punya pasal jugak la sebab taknak lari awal2 masa asap belum banyak lagi...masa kitorang tengah redah asap tu, mata mula dah berair...tak kisah lagi sebab saya dah expect pun macam tu sebab nama pun gas pemedih mata...tapi yang unexpectednye, bila tgh2 lari tu dan terhidu je asap tu, tiba-tiba sistem pernafasan saya macam kene block...tak cukup nafas saya dibuatnya...macam tengah lemas dalam air yang dalam....saya paksa hidung saya cuba sedut udara lagi, but things get worse sebab saya hidu lebih banyak asap lagi yg membuatkan lagi teruk pernafasan saya kene block...lepas tu ape lagi, badan saya pun respon la dengan terbatuk terbahak-bahak macam orang kena asma...time 2 tgh lari lagi cuba lari sejauh yang boleh drpd asap tu....masa tgh lari tu, hanya perkataan mati je yang bermain di fikiran...bayangkan la, dah la lari, tanpa bernafas pulak tu....mana tak separuh mati dibuatnya....masa tu tak fikir apa dah, hanya lari sekuat mungkin dengan nafas yang terhad....yang kesiannya, saya tengok kat belakang saya tu ade 2 org muslimat tgh lari jugak nak menyelamatkan diri...saya boleh berdoa je la harap2 diorang cukup nafas untuk lari sampai ke hujung jalan yang takda asap...takboleh wat apa dah...diorang tu perempuan, setakat mana la kudrat yang ada, lari pun tak sekencang mana, kene pulak gas pemedih mata, memang betul2 rahmat la bagi diorang kalau tak jatuh pengsan sebab tak cukup nafas...alhamdulillah, diorang selamat jugak akhirnya...

dulu bila tengok gas pemedih mata, apela yg diorang ni takut sangat...tapi bila dah terkena kat diri sendiri, barula saya tahu betapa bahayanya gas pemedih mata ni...kalau saya ni ada penyakit asma, nampak gayanya hantu jelmaan saya la yang tulis post ni...memang komfem arwah punya saya...itula pengalaman kali pertama saya join perhimpunan demonstrasi dan pengalaman kali pertama jugak kena tear gas....mujur water cannon tak kena...abang saya kata, kalau kena tu jadi habis gatal satu badan sebab air tu bukan air biasa tapi chemical water...dan pengalaman pertama jugak bagi abg saya berjalan-jalan dengan menaiki kereta polis sebab kene tangkap kerana pakai baju unit amal....:)

tapi saya nak bagi pendapat saya la mengenai perhimpunan demonstrasi nih...saya rasa lebih wajar dan elok kalau sekiranya perhimpunan ni hanya dihadiri oleh muslimin saja...bukan apa, muslimat tempat mereka sepatutunya di rumah...tidak manis sekiranya mereka turut berarak bersesak-sesak dengan orang lelaki yang bukan mahram...iye, tujuan mereka betul, tapi caranya kurang betul....lainla memang betul2 dipisahkan peserta demonstrasi antara lelaki dan perempuan...tapi keadannya bukan sedemikian...tambahan pula, diorang ni lemah...kalau terkena seperti kejadian seperti yg saya ceritakan kat atas, dan jatuh pengsan, bukankah itu akan menimbulkan kesulitan....? kalau terlalu bersemangat sangat nak menyumbang, at most, buat kerja belakang tabir sudah la...ini sampai ada muslimat yang menjerit-jerit melaungkan slogan demonstrasi, macam mana ni...suara awak bukan aurat, tapi bila dah menjerit melalak, jadi aurat la cik adik kakak oi....sebab tu perempuan haram jadi muazzin...analoginya mudah....islam teramat muliakan wanita...wanita ibarat sebuah permata yang sangat berharga...kalau permata yang sangat berharga, tempat permata diletakkan pun bukan sebarangan tempat...paling kurang pun diletakkan dalam sebuah cermin kaca yang tebal, ada pulak gerigi besi dalam kaca tu....bilik yang menyimpan permata tu dipasang pulak dengan cctv, dikawal pulak oleh pengawal keselamatan yg bersenjatakan senapang...tingginya nilai permata tu sampai dijaga begitu sekali....tapi kalau permata tu sengaja diletakkan di tepi jalan, di atas sehelai kain yang nipis, didedahkan kepada orang yang lalu lalang, terkena pulak habuk kenderaan, agak-agak ada orang percaya tak itu sebenarnya sebiji permata yang tinggi nilainya...? tak ada punya...jadi hargaila diri anda sepenuhnya...tapi ada jugak orang yg berpendapat muslimat ni kena keluar jugak demi meramaikan orang kerana zaman sekarang ni terlalu sikit orang yang ingin berjuang...ok...saya terima pandangan dia...tapi kalau nak dibandingkan zaman sekarang ni ngan zaman jahiliah mula2 dahulu time Nabi MUHAMMAD baru nak berjuang, agak2 mana lagi sikit orang yang ingin berjuang....? pastila pada masa zaman Nabi MUHAMMAD...but still, Siti Khadijah tetap berdiam di rumah, menyumbangkan hartanya dan menyediakan kelengkapan-kelengkapan yang diperlukan oleh suami tercinta...that's all...kenapa macam tu..? sebab fungsi isteri adalah di rumah....kemuliaan mereka adalah di rumah...inilah yang kita semua perlu jadikan contoh dan tauladan...bukan ingin berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lelaki kerana ALLAH dah tetapkan fungsi masing2 supaya tak timbul fitnah...ALLAH memberi kekuatan lebih kepada lelaki bukan for nothing, tapi adalah kerana supaya mereka dapat melindungi kaum perempuan yang lemah...itu harga yang perlu dibayar oleh kaum lelaki....jadi, sama-samalah kita muhasabah diri kita balik supaya kita dapat memperbaiki diri kita menjadi orang yang lebih baik insyaALLAH....

wallahu'alam....

Wednesday, June 29, 2011

kepercayaan....

kalau dah percaya, tak perlu banyak tanya...
hanya berserah, patuh dan taat sepenuhnya....

itulah yang boleh dikatakan tentang ISLAM...yang bermaksud sejahtera atau penyerahan...tapi, ramai di kalangan kita apabila memperkatakan mengenai ISLAM, mahukan penjelasan di sebalik hukum yang telah ditetapkan seolah-olah mempersoalkan apa yang ALLAH tetapkan...sangat tak beradab apabila direnungkan..

apabila kita mengucap LAA ILAA HA ILLA ALLAH, bermakna kita mengaku ALLAH sahaja tuhan kita dan kita menjadi muslim...iaitu orang yang menyerahkan segala-galanya hanya keranaNYA...kita tidak akan menyerahkan sesuatu yang berharga kepada seseorang jikalau kita tidak percaya kepada orang itu...begitu jugalah kita dengan ALLAH...hanya kerana kita betul-betul yakin dan percayakan ALLAH bahawa DIA lah Penyelamat kita, barulah kita serahkan jiwa dan raga kepadaNYA...

ibarat penyerahan itu samalah seperti seorang anak yang menyerahkan nasib kehidupan dan masa depannya kepada kedua ibubapanya...oleh kerana anak ini PERCAYA bahawa ibubapanya menghendaki dan mengetahui apa yang terbaik untuknya, maka si anak ini mengikut segala saranan, nasihat dan perintah ibubapanya tanpa sebarang persoalan dan pertanyaan...dia akan pergi belajar di tempat ibubapanya sarankan, dia akan berkahwin dengan orang yang ibubapanya tetapkan, hanya semata-mata kerana dia PERCAYA kepada ibubapanya...

apatah lagi dengan ALLAH yang MAHA Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambanya, lebih-lebih la lagi kita kena berserah sebulat-bulatnya tanpa banyak bicara kerana kita PERCAYA kepadaNYA...

wallahua'lam...

Tuesday, May 24, 2011

Lirik Amin berunsur Tasauf

Oleh Abdul Aziz Itar - Utusan Malaysia 14 Mei 2011

LIRIK-lirik nukilannya bukan sahaja kena dengan melodi lagu yang digubah tetapi ia juga menampilkan mesej-mesej yang mendalam maksudnya mengikut pemahaman yang berbeza daripada para pendengarnya.

Malah, penulis lirik dan pelukis berusia 57 tahun ini tidak menafikan kebanyakan lirik garapannya berlandaskan pengajian ilmu tasauf yang boleh mengaitkan seorang hamba dengan pencipta-Nya.

"Kebanyakan lirik lagu ciptaan saya sedikit sebanyak menampilkan unsur-unsur sufisme dan tasauf atau sekarang ini ia lebih dikenali sebagai ketuhanan. Mungkin ramai yang tidak perasan dengan mesej itu.

"Ini kerana ramai yang beranggapan lirik-lirik tulisan saya bertemakan kisah cinta. Tetapi sebenarnya, ia rasa kecintaan yang lebih tinggi antara manusia dan Tuhan. Elemen itu ada dalam setiap diri manusia.

"Cuma ramai yang tidak tahu atau sengaja tidak mahu ambil tahu akan hakikat tersebut," katanya kepada S3 sewaktu berkunjung ke rumahnya di Bandar Baru Selayang, Selangor baru-baru ini.

Pendekatan anak seni berasal dari Batu Pahat, Johor ini dapat dilihat menerusi judul lirik hasil ilhamnya, Umpama Mimpi Dalam Mimpi yang dipopularkan oleh kumpulan Damasutra pada tahun-tahun 1990-an.

S. Amin Shahab atau nama sebenarnya Syed Mohd. Amin Syed Hashim berkata, judul lirik seperti itu bukan setakat unik tetapi ia turut mengandungi maksud-maksud yang mendalam penghayatannya.

"Lirik Suci Dalam Debu misalnya, mempunyai maksud yang mendalam di mana ia juga berunsurkan ketuhanan. Di Indonesia para peminat menggelar lagu itu dengan gelaran lagu tayamum.

"Saya tulis lirik itu dalam masa 30 minit. Mesej lagu itu berdasarkan pengalaman dan pemahaman saya dalam ilmu tasauf yang saya pelajari selama ini," ujarnya mengungkap cerita di sebalik lagu itu.

Selain menghasilkan lirik bertemakan ketuhanan, bapa kepada Sharifah Nur Aisyah, 19, Sharifah Nur Atiqah, 17, dan Sharifah Nur Anisah, 15, ini juga tidak melupakan isu-isu sosial dalam masyarakat.

Beliau contohnya, banyak mengungkap isu-isu sosial dalam lirik tulisannya yang penuh dengan sindiran seperti Kupu-Kupu Malam, Sindrom Kotaraya, Satu Catitan dan Suasana Di Tasik Perdana.

Bukan setakat menyerapkan elemen-elemen tasauf menerusi lirik lagu, tetapi Amin juga menggunakan medium lukisan sebagai satu lagi wadah bagi mengetengahkan mesej-mesej murni tersebut.

Suami kepada Junaidah Johari, 48, yang juga bekas anggota kumpulan trio Ideal Sisters yang popular pada tahun-tahun 1980-an ini memaparkan banyak elemen ketuhanan di sebalik lukisan-lukisannya.

"Lukisan terbaru saya berjudul Hukum Kasih yang memaparkan potret dua orang tokoh agama yang juga dikatakan wali Allah iaitu Tok Kenali dan Tok Lombok telah pun saya siapkan pada tahun lalu.

"Di setiap lukisan saya, akan sertakan diskripsi supaya ia boleh dikaitkan dengan apa yang dipaparkan di sebalik gambar tersebut. Ia sesuatu yang abstrak dan mengikut pemahaman sendiri," jelasnya.

Pada sisi lukisan itu, Amin menulis ayat, 'Kepada-Mu Kekasih adalah tariqat. Hukum kasih adalah hakikat. Tok Kenali, Tok Lombok ku kenal dalam mimpi. Ilmu tuk, tuk sorok, ku jumpa dalam hati.'

Pada masa sama, dia kini sedang menyudahkan potret sembilan wali Allah yang terkenal di Indonesia yang dikenali sebagai Wali Songo di mana empat daripadanya sudahpun disiapkannya.

"Saya telahpun melukis empat daripada sembilan wali itu iaitu Sunan Ampel, Sunan Giri, Sunan Bonong dan Sunan Kudus. Semuanya akan siap pada tahun depan. Satu pameran khas akan diadakan," katanya.

Penulis lirik terbaik menerusi lagu Suci Dalam Debu pada Anugerah Juara Lagu 1990 ini berkata, dia juga kini sedang menyiapkan lukisan terpanjangnya iaitu sepanjang satu kilometer yang menjadi impiannya.

Amin yang mula melukis 1,001 wajah di seluruh dunia sejak 2004 itu akan menyudahkan baki sekitar 200 meter lukisan itu dalam waktu terdekat ini.

"Sepanjang menyiapkan lukisan itu, saya telah menggembara ke banyak negara seluruh dunia antaranya ke China, Mexico, Sri Lanka, Kemboja, Mesir, Greece, Turki, India dan United Kingdom.

"Sewaktu berada di London pada 2008 saya telah menyiapkan 20 meter lukisan itu yang memaparkan Sungai Thames. Sayangnya buat masa ini, projek itu seakan-akan terbengkalai.

"Setakat ini, tiada maklum balas daripada pihak Balai Seni Lukis Negara bagi membantu saya menyiapkan lukisan itu. Rasa kecewa juga. Saya terpaksa mencari dana sendiri untuk menyiapkannya kelak," harapnya.

Jika berjaya disiapkan, lukisannya itu akan dimasukkan ke dalam buku Malaysia Book of Records sebagai lukisan terpanjang di Malaysia yang memaparkan tempat-tempat menarik di dunia.

p/s: orang yang dalam gambar tu ialah S. Amin Shahab yang saya cerita pada post saya yang lepas yang bertajuk 'pandanglah dengan mata hati'. Dia ni jugak la penulis lirik lagu Sufi yang dinyanyikan kumpulan Damasutra tu. Ermmm....jangan ingat semua orang yang terlibat dalam industri muzik ni semuanya orang 'lalai', sebab ada jugak seorang dua yang berada dalam keadaan 'jaga'...

wallahu'alam.....